Hari ni aku agak lewat tiba di masjid, lebih kurang jam 1.30 tengahari. Khatib ketika itu sudah mula menyampaikan khutbahnya. Setelah meletakkan kereta di bahu jalan perumahan tidak jauh dari surau solat Jumaat Taman Lestari, aku pun melangkah menyeberang jalan menuju ke surau itu. Ketika hendak menyeberangi jalan utama sebelum aku boleh tiba ke surau tersebut, aku lihat kereta berderet sambil ada yang membunyikan hon sesekali (tidaklah dengan begitu panjang dan kuat). Jelas sekali sebuah lori terhenti di tengah jalan seperti terhalang laluannya oleh sesuatu.
Jalan ini memang sesak setiap kali waktu solat Jumaat, semenjak 4 tahun yang lepas lagi ketika aku mula-mula berpindah ke kawasan ini dan bersolat Jumaat di sini. Kawasan yang sempit dan tiada ruang letak kereta khas memaksa para jemaah meletakkan kenderaan di bahu-bahu jalan, sama ada jalan utama mahupun jalan perumahan berhampiran.
Apa yang aku kesalkan pada hari ini ialah sikap sesetengah jemaah yang kadangkala pada aku tak bertimbangrasa kepada pengguna jalan raya yang lain. Demi keselesaan diri (mungkin tak larat nak menapak jika kenderaan diletakkan jauh dari jalan utama), ada yang meletakkan kenderaan dengan cara yang pada aku seolah-olah 'tak sayang harta sendiri'. Lihat saja dua keping gambar yang aku letakkan kat bawah ni.
Aku letakkan 10% kesalahan kepada pemandu atau syarikat lori ini. Dah tahu waktu tu memang sesak dan jalan sempit, kenapa nak lalu juga jalan tu. TAPI, aku letakkan 90% kesalahan kepada tuan punya kenderaan mewah Toyota Camry ni. Cuba tengok cara dia meletakkan keretanya. Begitu banyak ruang sebenarnya di sebelah kiri ke bahu jalan itu, malah ruang di hadapan dan belakang keretanya juga luas (ada jarak lebih kurang 2-3 meter dgn kereta belakang dan depannya) jika dia hendak kehadapan atau berundur sedikit untuk membetulkan posisi parking. Jika dia meletakkan keretanya dengan cara yang sepatutnya, dah lama lori yang walaupun sebesar ini boleh melalui jalan tu!
Janganlah kerana nak mengejar pahala (atau elak dosa tak pergi solat Jumaat), kita dapat dosa lain pulak kerana menyusahkan orang. Bukankah Islam mengajar kita supaya jadi insan bertanggungjawab? Budaya Melayu menekankan sikap timbangrasa dan budi-bahasa? Hampir 1/2 jam pengguna jalan raya di belakang lori ini terpaksa menunggu sehingga tuan punya Camry yg 'cerdik' lagi 'berhemah' ini datang. Lepas tu aku heran, dia macam nak menyalahkan pemandu lori tu pulak. Kira baik la apek tu nak berhenti dan tunggu 1/2 jam, kalau dia buat hati kering gesel je bumper belakang kereta tu dan blah, siapa yang tahu pun? Sia-sia je kereta bercalar atau luruh bumper PU yang pasti tak murah tu!
Sesungguhnya aku sangat kesal dan malu dengan sikap saudara Muslim aku yang sebegini. Nama je kereta besar, mungkin tuannya orang berada dan berpelajaran, umur pun tak tua mana aku tengok, dalam lewat 30-an atau awal 40-an, tapi takde rasa tanggungjawab dan timbangrasa terhadap orang lain. Kalau ada kecemasan dan ambulan nak lalu kat situ ke, macam mana? Nak dia tanggung dosa kerana menyebabkan kematian orang pulak ke? Astaghfirullah wa na'uzubillah, jauhkan lah kita semua dari sikap busuk, bodoh sombong sebegini! Amin...
No comments:
Post a Comment