Salam Syawal buat semua pengunjung YiP! & juga notes di FB saya. Saya pernah mendapat beberapa email yang mengutuk penggunaan FB ni, katanya haram lah, pro-Yahudi lah dan sebagainya, yang pada saya agak kurang berasas. Maka saya terpanggil untuk berkongsi sebuah artikel yang saya dapati melalui email dan ianya bersumber dari laman http://saifulislam.com/?p=6714 yang mana saya amat bersetuju dengan pendapat dan pandangan beliau. Sekali lagi, saya hanya menyiar semula, bukan menulisnya. Wallahu A'lam :)
Facebook: Antara Pro dan Kontra
Abu Saif 14/09/2009 3:27 pm
“Ustaz, do you have any networking account?” tanya Saeb kepada saya.
“You mean, like Friendster and Myspace?” saya meminta kepastian.
“Yes. But in the States we don’t use Friendster. We’re more into Facebook,” jelas Saeb kepada saya.
Beliau adalah anak kepada pensyarah saya, seorang warga Amerika Syarikat.
“Oh yeah. I have registered an account but completely forgot about it because there’s no one there,” saya memberitahu.
“Great. Probably Malaysians are still hanging around Friendster. But anyway you’ll find us there. I’m trying to bring Dad into Facebook, too!” gurau beliau.
PENYERTAAN AWAL KE FACEBOOK
Saya mendaftarkan akaun Facebook pada awal 2007 tetapi hanya mengaktifkan penggunaannya semula kira-kira enam bulan selepas itu bagi menguruskan jaringan sosial antara kami, AJK IYEP dengan peserta yang datang dari seluruh dunia.
Ketika itu, amat kecil bilangan pengguna Malaysia yang berada di dalam jaringan Facebook. Namun, saya berasa selesa menggunakannya berbanding dengan Friendster kerana suasana di dalam Facebook lebih teratur, kemas dan ‘tidak kebudak-budakan’. Di kala itu, memang sudah menjadi buah mulut orang menganggap pembabitan anak muda di dalam Friendster di negara kita amat mengundang mudarat. Perkongsian gambar-gambar tidak senonoh hingga membabitkan beberapa artis ketika itu, menyebabkan saya langsung tidak terfikir untuk mempertimbangkan soal menyertai Friendster, biar pun untuk tujuan dakwah khususnya pada mendekati golongan remaja.
Berbeza dengan Facebook, rakan-rakan yang lebih ’sekepala’ dan ’seusia’ bertambah dari semasa ke semasa melalui Facebook dan ia sangat berkesan dalam usaha ‘menjejak kasih’ teman-teman lama dari seluruh dunia.
Keadaan ini sedikit demi sedikit berubah apabila semakin ramai pengguna internet Malaysia menyertai Facebook.
Saya tidak pasti apakah yang patut ditunding kesalahan. Apakah kerana kelompok yang membanjiri Facebook kebelakangan ini adalah remaja bermentaliti kebudak-budakan, atau mereka bekas pengguna Friendster, atau mereka mewakili suatu ngomelan tentang budaya kurang sihat di Malaysia yang disebut sebagai ‘First Class Facility with the Third Class Mentality’. Facebook mula comot dengan pelbagai aplikasi seperti kuiz, permainan dan pelbagai fungsi yang menghilangkan hemah Facebook selama ini.
Keadaan menjadi lebih merunsingkan apabila kita memiliki 5000 orang ‘rakan’ di dalam senarai jaringan kita. Apabila beberapa ratus daripada 5000 itu menyebarkan sampah sarap, ia sudah cukup untuk merosakkan fungsi asal Facebook yang menjadi asas tujuan kita memilih jaringan sosial ini.
BOLEH MENJADI HARAMKeasyikan pengguna-pengguna Facebook melayan kuiz dan permainan, di samping sembang bual yang pada masa ini jumlah warga jaringan Malaysia mencecah lebih 800,000 orang, boleh menghasilkan suatu ketagihan seperti apa yang pernah menimpa pengguna perkhidmatan chatting MiRC suatu ketika dahulu. Tambahan lagi, dengan kemudahan akses Facebook melalui telefon bimbit, tahap ketagihan itu bisa jadi melampau dan merosakkan.
Dalam keadaan seperti ini, keharusan menggunakan Facebook boleh bertukar menjadi HARAM ke atas individu yang menyalahgunakan Facebook hingga berlaku kelalaian di tahap yang ekstrim.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala, mafhumnya:
“Telah nyatalah kejayaan para Mukmin. Iaitu mereka yang di dalam solat mereka, khusyu’ mendirikannya. Dan mereka itu terhadap perkara-perkara yang melalaikan, mereka menghindarkannya” [al-Mu'minun 23: 1-3]
Apa yang menjadi larangan bukanlah Facebook sebagai medium. Tetapi larangan itu terkena ke atas individu yang gagal mengawal dirinya hingga sesuatu yang asalnya begitu bermanfaat berubah menjadi mudarat akibat lemah daya mengawal dan membuat pilihan.
Dalam masa yang sama juga beberapa konsep akhlaq perlu diberikan penjelasan dalam konteks etika melayari internet serta menggunakan aplikasi yang kedapatan, termasuk email dan Facebook.
EMAIL
Saya tidak menyiarkan alamat email di tempat terbuka.
Antara tujuannya ialah untuk melindungi akaun email saya daripada kebanjiran email spam. Justeru untuk kemudahan perhubungan, saya sediakan borang email dan semua mesej yang dihantar di situ akan masuk terus ke akaun Gmail saya.
Akan tetapi, apabila mesej yang dikirim, saya balas dengan memberikan jawapan yang diminta, penerima email itu telah memasukkan email saya ke senarai email yang bakal menerima artikel-artikel yang beliau hantar dalam jumlah yang sangat mengganggu. Entah mengapa, ada sesetengah kita memiliki tabiat mengajukan rantaian-rantaian artikel melalui email dalam bentuk yang tidak terkawal. Tentu sahaja mengambil satu artikel lalu dikongsikan bersama rakan-rakan lain agar tersebar manfaat, adalah suatu perbuatan yang terpuji. Tetapi tatkala menerima satu email, dan kemudian terus menekan butang REPLY atau REPLY TO ALL dengan email yang sudah lima lapis diperlakukan sedemikian rupa, ia menampakkan bahawa email itu dihantar lebih kepada tabiat suka mengajukan email (Email Forwarding) berbanding menghantarnya dalam keadaan sedar akan apakah tujuan ia dilakukan.
Ada yang menyebarkan secara BULK hingga 20 email sehari.
Bagaimanakah anda menguruskan akaun email apabila seorang yang tidak anda kenali, menghantar 20 forwarded email sehari (sebahagiannya adalah artikel anda sendiri yang diajukan kembali kepada anda)?
Kaedah mudahnya ialah tandakan sahaja email itu dan penghantarnya sebagai SPAM.
Tetapi atas dasar menghargai sesama Mukmin yang berutusan email dengan maksud kebaikan, saya menghantar email peribadi kepada si pelaku ini memohon jasa baiknya agar email saya dikeluarkan daripada senarai penerima forwarded article beliau.
Permintaan saya itu telah menyebabkan beliau melenting. Saya ditegur kerana ‘tidak menghargai kebaikan’, ’sudah terlalu baik hingga tidak perlu ditegur oleh artikel-artikel yang baik’ dan macam-macam lagi. Saya cuba untuk terangkan kepada beliau bahawa sebahagian daripada artikel yang beliau hantar kepada saya adalah artikel tulisan saya sendiri. Ini menunjukkan beliau tidak meneliti apa yang dihantar dan kepada siapa ia dihantar. Semuanya dilakukan sebagai tabiat bahawa selepas email dibaca, terus ditekan butang Forward untuk membina rantaian email yang menyemakkan.
Dek tindak balas beliau yang agresif, saya mengambil langkah drastik membuat tapisan (filter) bahawa semua email daripadanya, terus dipadam dan dimasukkan ke tong sampah (bin).
Sehingga kini ada lebih 20 filter yang berada di dalam email saya untuk menangkis kelakuan sebegini.
TAGGING DI DALAM FACEBOOK
Fungsi tagging di dalam Facebook mempunyai manfaat yang banyak.
Disebabkan oleh adanya fungsi ini, saya sudah kurang menggunakan kamera sendiri untuk mengambil foto program yang saya hadiri atau kendali. Lazimnya jurukamera atau peserta yang bergambar akan memuatnaikkan fotonya dan tatkala saya ditanda dengan tagging, maka foto itu secara otomatik masuk ke koleksi foto saya.
Namun, terdapat sejumlah pengguna Facebook yang menggunakan fungsi tagging ini sebahagian daripada apa yang dilakukannya di dalam kuiz dan permainan. Mungkin hal ini lebih menjadi masalah apabila ia berlaku kepada pengguna Facebook yang memiliki 5000 orang ‘rakan’ di dalam senarai jaringannya.
Kemunculan aplikasi seperti PICKUPFRIENDS telah mengundang lambakan ratusan tagging berserta mesej balasan yang mengganggu ketenteraman penerimanya.
Tabiat-tabiat seperti ini tidak seharusnya berlaku. Ia menggambarkan betapa kita tidak menghargai ruang persahabatan yang wujud lantas mengisinya dengan benda-benda yang disangka lucu tetapi hakikatnya menyakiti orang lain. Cukuplah pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
“Daripada Abdullah bin ‘Umar radhiyallaahu ‘anhuma beliau berkata, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, mafhumnya: “Seorang Muslim itu ialah seorang yang kaum Muslimin lain terselamat daripada (kejahatan) lisan dan tangannya. Seorang muhajir pula ada orang yang berhijrah meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah kepadanya” [muttafaq 'alayh]
FACEBOOK DAN YAHUDI
Dalam sentimen kemarahan kita terhadap apa yang menimpa umat Islam di bumi Palestin, kemahuan untuk melakukan sesuatu yang berbalut emosi sering membuatkan kita keterlaluan dalam tindakan.
Suatu ketika, kempen boikot berlangsung secara aktif. Senarai panjang barangan dan perkhidmatan disebarkan untuk diboikot. Masyarakat terbahagi kepada beberapa kelompok dalam hal ini. Ada yang menolak sepenuhnya tindakan boikot, ada yang bertindak memboikot sepenuhnya apa sahaja yang berkaitan dengan Yahudi dan Amerika Syarikat, dan di celah kedua-dua aliran itu, ada yang bertindak memboikot secara selektif.
Tindakan memboikot secara selektif ini didorong oleh kesedaran bahawa mengharamkan secara mutlak urusniaga yang membabitkan Yahudi atau Nasrani semata-mata kerana dia itu Yahudi atau Nasrani, adalah suatu tindakan yang tidak menepati kehendak Syara’.
Di dalam Majalah al-Islam keluaran September 2009, terdapat sebuah artikel yang tajuknya amat serius berbunyi, “ZUCKERBERG GUNA FACEBOOK UNTUK BUNUH PENDUDUK PALESTIN”.
Apa yang tidak wajar berlaku ialah, makalah tersebut hanya mendedahkan aktiviti biasa pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, sebagai seorang Yahudi yang ‘multazim’ (mempraktikkan agama Yahudi dalam kehidupan seharian). Tetapi justifikasi terhadap kebenaran dakwaan bahawa Zuckerberg menggunakan Facebook untuk membunuh penduduk Palestin, hanya ditulis dalam sebuah perenggan ringkas berbunyi:
“… Pun begitu sebelum pengharaman oleh dua buah negara tersebut dibuat, wujud desas-desus yang mengaitkan penglibatan laman web tersebut dalam membiayai peperangan di Gaza”
Itu sahaja kenyataan yang wujud di sepanjang artikel berkenaan dalam mengaitkan Facebook dengan jenayah perang di Palestin. Ada pun isi kandungan lain, kesemuanya menceritakan tentang betapa Yahudinya seorang anak muda bernama Mark Zuckerberg, sesuatu yang tidak pernah diputuskan oleh Islam sebagai sebab untuk produk atau perkhidmatannya diharamkan.
ASAL KEHARUSAN MUAMALAH BERSAMA YAHUDI
Terdapat begitu banyak keterangan daripada Sunnah bahawa berurusniaga dengan kaum Musyrikin dan Yahudi itu adalah harus. Misalnya di dalam sepotong hadith:
“Sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh dan mencagarkan baju besi baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.” [Hadith riwayat al-Bukhari nombor 2326, 2/841]
Al-Imam al-Bukhari juga memberikan tajuk kepada salah satu bab di dalam Sahih beliau, yang mendatangkan hadith di atas sebagai, “BAB BERJUAL BELI DENGAN KAUM MUSYRIK DAN YAHUDI”.
Dalam mengulas hal ini, al-Imam al-Nawawi membuat kesimpulannya di dalam syarahan beliau kepada Sahih Muslim dengan berkata:
“Telah ijma’ seluruh umat Islam pada keharusan urusan dengan Ahli Zimmah dan lain-lain orang Kafir selagi mana urus niaga itu tidak jatuh di dalam perkara yang haram. Akan tetapi umat Islam tidak boleh ( haram) menjual senjata kepada musuh Islam yang sedang memerangi Islam, dan tidak boleh juga membantu mereka dalam menegakkan agama mereka” [Sharah Sahih Muslim oleh al-Nawawi, 11/40]
Keharusan ini hanya berubah dengan adanya dalil lain yang mengubah keharusan itu, atau berlakunya sesuatu yang mengubah konteks hadith ini. Di dalam kes Facebook, adalah sangat penting untuk didatangkan bukti bahawa Mack Zuckerberg membiayai regim Zionis di Palestin, dan artikel di Majalah al-Islam September 2009 itu gagal mendatangkannya.
Di hujung artikel tersebut, satu lagi dakwaan dibuat pada menyatakan bahawa, “dengan klik sahaja pada Facebook kita juga turut sama menjadi pembunuh orang Palestin di Gaza“
Namun sama juga seperti sebelumnya, tiada sebarang bukti diketengahkan pada menunjukkan bagaimanakah penjanaan keuntungan Facebook disalurkan kepada regim Zionis yang menjajah bumi Palestin”.
Kita tidak mahu wujudnya satu budaya paranoid umat Islam yang melatah dengan mudah tatkala didatangi oleh kenyataan-kenyataan seperti ini. Orang Islam sangat cepat dimanipulasi sebagai agen merosakkan produk dan perkhidmatan melalui penyebaran email yang mendakwa ada benda tidak halal, ada campuran beracun dan lain-lain yang mana sebahagaiannya adalah palsu. Ia hanya membuktikan bahawa orang Islam banyak kerisauan tetapi tidak banyak berusaha untuk menyelidik bagi menghilangkan kerisauan tersebut.
Islam tidak pernah mengharamkan Muslim membeli atau menggunakan apa-apa produk dan perkhidmatan daripada non Muslim termasuk Yahudi. Mengharamkan pembelian atau penggunaan sesuatu produk atau perkhidmatan hanya dengan alasan ia milik Yahudi, boleh mengheret kita terjebak kepada perbuatan MENGHARAMKAN APA YANG HALAL, yang mana perbuatan itu sama buruknya dengan MENGHALALKAN APA YANG HARAM.
Malah perbuatan anti Yahudi secara semberono begitu adalah bersifat perkauman yang dibenci oleh Islam.
Facebook terbuka sebagai satu ruang untuk dimanfaatkan sebagai medium perhubungan dan penyebaran maklumat. Ia boleh berfungsi sebagai alat dakwah serta penyebaran maklumat, sebagaimana ia juga boleh berfungsi sebagai alat pemasaran. Seandainya di Facebook ada kempen yang memburuk-burukkan Islam, maka gunakanlah ruang yang ada untuk kempen memburuk-burukkan Islam itu ditukar kepada suatu bentuk promosi yang menimbulkan rasa ingin tahu manusia kepada Islam, seperti yang banyak berlaku pasca 11 September 2001.
Namun, jika umat Islam menghabiskan masa di Facebook dengan aplikasi yang melalaikan tanpa sebarang tujuan, penggunaan Facebook boleh menjadi haram ke atas golongan seperti ini, sama seperti pembabitannya dalam aktiviti kosong yang lain.
PANDUAN MENGATASI KETAGIHAN
Sedikit nasihat buat mereka yang mengalami ketagihan Facebook, buangkan segala aplikasi third party seperti kuiz, permainan dan yang seumpama dengannya. Gunakan Facebook sebagai alat komunikasi bersama rakan-rakan, isikan ia dengan perbincangan, perbualan yang merapatkan ukhuwwah dan menambah pengetahuan secara berhemah.
Andaikata langkah mudah ini pun gagal mengurangkan tahap ketagihan berkenaan, tamatkan akaun Facebook dan carilah kehidupan yang lebih bermakna di luar sana.
Tepuk dada, tanyalah Iman!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com 68000 AMPANG
ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Saifulislam.Com mengalu-alukan sumbangan anda untuk menampung perjalanan server. Klik di sini untuk menyumbang. Terima kasih... [Abu Saif]